1.
IBU LEBIH BERHAK MENJAGA ANAK
Siapa yang berhak menjaga anak
(hadanah) antara ibu dan bapa?
Pada dasarnya penjagaan anak
sehingaga anak-anak itu berdikari adalah tanggungjawab ibu dan bapa selagimana
mereka masih dalam tempoh perkahwinan yang sah. Jika berlaku perceraian di
antara suami dan isteri, maka kewajipan itu akan terletak kepada jagaan ibunya
sehingga had umur yang ditentukan dan ibu tidak hilang kelayakannya.
Islam telah meletakkan
tanggungjawab mengasuh dan menjaga anak (hadanah) itu dengan memberi keutamaan
kepada perempuan-perempuan mahramnya. Maka ibu kanak-kanak yang lebih berhak
mengasuh dan menjaga kanak-kanak kerana mereka mempunyai sifat belas kasihan
dan kesabaran yang tinggi terhadap anaknya.
2.
SEBAB-SEBAB DIUTAMAKAN IBU MENJADI PENJAGA
Islam memberi keutamaan kepada ibu
damalm mengasuh dan menjaga anak-anak kecilnya sebelum mumaiyis berdasarkan 2
sebab berikut:
i. Ibu mempunyai sifat kasih belas dan kesabaran yang tinggi bagi persediaan menjaga dan mendidik anak-anaknya.
ii. Ibu mempunyai sifat lemah lembut sebagai penjaga kanak-kanak dan pengasuh. Ia mampu berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan dalam hadanah iaitu sifat lemah lembut, kasih sayang dan penyayang.
Dengan 2 sebab inilah para ulamak
bersetuju memberi keutamaan penjagaan anak-anak yang masih kecil untuk
diserahkan kepada ibunya. Seperti hadis Rasulullah SAW yang dibawa oleh
Abdullah bin Ibnul As;
Maksudnya:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya
anakku ini, perutkulah yang mengandungnya, susukulah yang memberi minum,
pangkuankulah yang memangkunya. Sesungguhnya bapanya telah menceraikan aku dan
dia hendak mengambil anaknya dengan paksa daripada aku.” Maka Sabda Rasulullah
SAW kepadanya, “Sesungguhnya engkaulah yang berhak menjaga anak itu selagi
engkau belum bernikah lagi”.
(Ra. Abdullah bin Amru as)
Dalam hadis yang lain
Maksudnya:
“Ibu itu lebih cenderung kepada
anak, lebih lemah lembut, lebih belas kasihan, lebih merindui, lebih baik,
lebih penyayang dan lebih berhak kepada anaknya selama dia belum berkahwin”
(Ra. Saidina Abu Bakar)
Berdasarkan daripada dalil-dalil
di atas dapatlah kita disimpulkan bahawa seorang ibu itu lebih berhak menjaga
anaknya disebabkan sifat semula jadi yang ada pada seorang ibu. Sifat-sifat ini
telah disepakati oleh para ulamak dalam menentukan hak dan keutamaan penjagaan
anak yang masih kecil, setelah ibu dan bapa mereka bercerai.
3.
HAD UMUR PENJAGAAN ANAK-ANAK
Hadanah atau penjagaan anak
bermula sejak anak itu dilahirkan dan berakhir pada umur yang dia tidak lagi
memerlukan bantuan orang lain dalam keperluan asasinya seperti makan, minum dan
mandi sendiri.
Kedudukan penjagaan anak-anak
sejak dilahirkan hingga dewasa boleh dibahagikan kepada 2 marhalah;
Pertama: Marhalah kanak-kanak di
bawah umur mumayyis (diantara umur 7 tahun atau 9 tahun bagi anak lelaki dan 9
tahun atau 11 tahun bagi anak perempuan)
Kedua: Marhalah kanak-kanak
mencapai umur mumayyis hingga baligh
MARHALAH PERTAMA
Penjagaan itu hanya dapat
dilakukan oleh seorang perempuan (ibu). diantara umur 7 tahun atau 9 tahun bagi
anak lelaki dan 9 tahun atau 11 tahun bagi anak perempuan
MARHALAH KEDUA
Di marhalah ini penjagaan anak
akan berpindah kepada walinya kerana pada ketika ini anak-anak itu memerlukan
bantuan orang lain untuk melaksanakan tanggungjawab pendidikan dan
pengajarannya.
4.
HAK BERZIARAH ANTARA BAPA, IBU DAN ANAK
Syarak telah menetapkan hak
melihat dan berziarah kepada bapa, ibu dan anak sekiranya keluarga atau suami
isteri itu telah bercerai. Ini akan dapat mengeratkan hubungan silaturrahin
antara anak dan kedua ibu bapanya. Maka ia dibahagikan kepada 3 seperti
berikut:
i) Hak bapa melihat atau menziarahi anaknya
ii) Hak ibu melihat atau menziarahi anaknya
iii) Hak anak melihat atau meziarahi ibu atau bapanya
Penjelasan dan huraian berhubung
hak-hak berziarah di antara ibu dan bapa terhadap anak-anak mereka seperti di
bawah.
1.
Hak bapa melihat atau menziarahi anaknya.
Apa berhak melihat dan menziarahi
anaknya yang berada di bawah jagaan ibunya atau perempuan dari kerabatnya. Bapa
tidak boleh memaksa ibu kanak-kanak itu untuk menghantar anak tersebut kepada
bapanya. Bapa tidak boleh dilarang daripada melihat atau menziarahi anaknya.
Jika anaknya itu perempuan dan
berada dibawah jagaan ibunya sepanjang hari (siang dan malam) maka bapa boleh
dating melihat atau menziarahinya pada waktu siang mengikut adat yang biasa.
Bapa tidak boleh meminta anak perempuannya untuk dihantarkan kerumah bapanya.
Bapa dilarang untuk melihat atau
menziarahi anak perempuannya pada waktu malam kerana takut mendatangkan
tohmahan atau fitnah (kepada ibu atau perempuan penjaganya) kecuali dibenarkan
oleh suami barunya. Jika tiada keizinan maka bekas interinya hendaklah
mengeluarkan anaknya itu kepada bapanya untuk perjumpaan tersebut.
2.
Hak ibu melihat atau menziarahi anaknya
Apabila anak-anak kecil itu di
bawah jagaan bapanya disebabkan ibu telah habisnya tempoh penjagaan atau kerana
gugurnya kelayakan untukmenjaga anak-anak itu, makan bapa tidak boleh
menghalang ibunya daripada melihat atau menziarahi anaknya. Bapa juga tidak
boleh dipaksa menghantarkan anak-anak itu kepada ibunya.
Mengikut pendapat Syed Abu Bakar:
bapa tidak boleh menghalang ibu daripada menziarahi anak lelaki dan anak
perempuannya di rumah bapanya. Bahkan bekas suami hendaklah mempenarkan bekas
isterinya itu masuk kerumahnya. Pendapat yang lain pula; bekas suami itu
bolehlah menyediakan bilik untuk bekas isterinya itu bertemu dengan
anak-anaknya. Jika rumahnya sempit memadai di luar sahaja dan tidak boleh duduk
lama di rumah tersebut.
Ibu tidak boleh dilarang menziarah
anak perempuannya yang sedang sakit atau meninggal dunia sehingga anak itu
dikuburkan, kerana ibu itu dating untuk menguruskan keadaan anaknya yang sakit
yang berada di rumah bapanya (pendapat imam Syafie)
Pendapat al-Mawardi pula - Bapa
wajib membenarkan bekas interinya masuk ke rumahnya untuk menziarahi anaknya.
3.
Hak anak melihat atau menziarahi ibu atau
bapanya.
Anak yang mumayyis berhak
menziarahi ibu dan bapanya. Hak ini telah ditentukan oleh syarak kerana ia
menghubungkan silaturrahim di antara anak dan ibu bapanya. Seperti mana firman
Allah SWT:
وَأُولُو
الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ
شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya:
“Orang-orang yang mempunyai
hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya di dalam
kitab Allah, Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu.”
(Al-Anfal; 75)
Ayat di atas menjelaskan bahawa
hubungan kerabat (kekeluargaan) dan silaturrahim adalah amat kuat sehingga
salah seorang daripada bapa atau ibu tidak boleh menghalang ata menegah anak
yang masih kecil daripada menziarahi bapa atau ibunya. Ini adalah hak bagi
kanak-kanak tersebut untuk menziarahi kedua orang tuanya kerana ini dapat
mengeratkan lagi hubungan di antara anak dan kedua-dua iu dan bapanya.
Jika salah seorang dari orang
tuanya itu sakit, sedangkan anak itu berada di bawah jagaan ibu atau bapa atau
orang lain, maka anak itu tidak boleh dihalangatau ditegah daripada menziarahi
ibu atau bapanya itu. Ia adalah kerana apabila ibu atau bapa kanak-kanak itu
sakit maka ibu atau bapanya itu tidak dapat menziarahinya maka kanak-kanak itu
perlu untuk pergi menziarahi mereka.
Menghalang atau menegah anak
daripada menziarahi ibu atau bapanya merupakan perbuatan menghasut kanak-kanak
itu supaya menderhaka dan memutuskan silaturrahim di antara anak dan kedua
orang tuanya. Perkara ini adalah ditegah oleh syarak.
5.
MASA BERZIARAH
Masa berziarah tidak ditentukan
oleh syarak dengan secara tetap, tetapi perlulah berdasarkan kepada masa yang
munasabah mengikut adat kebiasaan.
Adat kebiaaan menziarahi anak
adalah sehari dalam seminggu dan tidaklah pada tiap-tiap hari. Tetapi jika
kedudukan rumah ibu atau bapanya itu dekat, maka tidak mengapa jika dia
berziarah pada setiap hari.
6.
HILANG KELAYAKAN MENJAGA ANAK
Seseorang perempuan boleh hilang
kelayakan menjaga anak sekiranya terdapat salah satu antara perkara berikut:
1. Jika perempuan (ibu kanak-kanak) itu berkahwin
dengan seorang lelaki yang tiada hubungan mahram dengan kanak-kanak itu. Namun
kanak-kanak itu boleh kembali kepada perempuan (ibunya) tersebut sekiranya
berlaku perceraian.
2. Sekiranya perempuan itu berkelakuan buruk secara
keterlaluan dan terbuka.
3. Jika perempuan itu dengan sengaja menukar
permastautinannya dengan tujuan untuk mencegah atau menghalang bapa kanak-kanak
tersebut dari menjalankan pengawasan yang patut kepada kanak-kanak itu kecuali bekas
isteri itu boleh menghantar anaknya sendiri ke tempat bekas suaminya.
4. Jika perempuan itu murtad.
5. Jika perempuan itu melakukan kecuaian atau
menganiaya kanak-kanak tersebut.
Berpandukan sebab-sebab di atas
mahkamah syariah boleh mengeluarkan perintah sekiranya ada pihak-pihak membuat
dakwaan bahawa seseorang penjaga (ibu) telah hilang kelayakan untuk menjaga
anak-anaknya. Namun hilang kelayakan penjagaan tidaklah bererti seseorang itu
hilang hak untuk menziarahi anak-anak dan membuat pengawasan terhadap anak-anak
tersebut.
7.
KESIMPULAN
Dalam konteks penjagaan anak,
hukum syarak lebih mengutamakan kebajikan kanak-kanak tersebut daripada hak
orang yang menjaganya. Adakalanya kedua ibu dan bapa boleh hilang kelayakan
penjagaan sekiranya mereka tidak dapat memberi kebajikan dan boleh membawa
kemudaratan kepada kanak-kanak yang berada di bawah jagaannya.